
PM Lancar Program Sekolah Angkat MADANI: GLC dan Swasta Dilibatkan
20 Jun 2025 | Putrajaya – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI, satu inisiatif nasional yang menghimpunkan kerjasama Kerajaan MADANI bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta bagi membantu membangunkan 1,000 buah sekolah di seluruh negara.
Program ini bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar menerusi sokongan menyeluruh dalam aspek kewangan, akademik, latihan dan pembangunan kapasiti.
“Setiap organisasi yang mengambil sekolah angkat memikul amanah besar untuk membina jambatan harapan bagi anak-anak kita. Ini bukan soal tanggungjawab sosial korporat semata-mata, tetapi ikhtiar bersama untuk membina masa depan bangsa,” ujar Perdana Menteri dalam ucapannya.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan merupakan azimat utama untuk membebaskan anak-anak daripada belenggu kemiskinan, dan memerlukan pendekatan menyeluruh yang melangkaui keupayaan kerajaan semata-mata.
Meskipun Kerajaan MADANI telah memperuntukkan RM64 bilion kepada Kementerian Pendidikan bagi tahun 2025, Perdana Menteri mengakui bahawa jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk memulihkan pelbagai kerosakan sistemik yang telah lama berakar dalam sektor pendidikan.
“Masih ada anak-anak kita yang terpaksa berjalan berjam lamanya ke sekolah yang serba daif. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” tegas beliau.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang menyertai Program Sekolah Angkat MADANI, menyifatkan penyertaan mereka sebagai bukti komitmen nasional dalam menjayakan reformasi pendidikan yang holistik dan inklusif.
Program ini diharap mampu menjadi platform berimpak tinggi untuk menyuntik semangat baharu dalam landskap pendidikan negara serta menyemai prinsip keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan Malaysia MADANI.